KEHIDUPANKU DI MADINAH  حياتي في مدينة الرسول

KEHIDUPANKU DI MADINAH حياتي في مدينة الرسول

LightBlog

YANG TERKINI

Sunday, 18 November 2018

DEFINISI ORANG YANG MENCURI DI DALAM SOLAT


(Gambar sekadar hiasan)

Suatu masa Rasulullah SAW memasuki masjid, lalu masuk seorang lelaki ke masjid untuk melakukan solat. Selesai solat, ia mendatangi Rasulullah seraya mengucapkan salam. Setelah menjawab salam, Baginda berkata: “Kembalilah ke tempatmu dan solatlah, kerana sesungguhnya engkau belum solat".

Lelaki itu lalu solat semula seperti tadi, tetapi Rasulullah SAW tetap menyatakan yang sama iaitu menyuruh lelaki itu solat semula kerana menurut Rasulullah SAW, lelaki itu belum mengerjakan solat (secara sepatutnya). Hal ini berulang sampai tiga kali.

Lalu lelaki itu berkata: Demi zat yang mengutuskan engkau dengan kebenaran, aku tidak boleh mengerjakan yang lebih baik daripada ini, maka ajarlah aku. Baginda pun mengajarnya: Apabila engkau berdiri menunaikan solat maka bertakbirlah, kemudian bacalah ayat al-Quran yang mudah bagimu, kemudian rukuklah sehingga engkau tomakninah dalam keadaan engkau rukuk, kemudian bangkitlah sehingga engkau tomakninah dalam keadaan engkau iktidal, kemudian sujudlah sehingga engkau tomakninah dalam keadaan sujud, kemudian bangkitlah sehingga engkau tomakninah dalam keadaan duduk. Engkau buatlah yang demikian itu dalam semua solat engkau.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Sejahat-jahat pencuri adalah orang yang mencuri dalam solatnya. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana ia mencuri dalam solatnya? Baginda menjawab: Ia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.”

(Riwayat Imam Ahmad)

Di dalam mazhab Syafie dan Hanbali, tomakninah adalah rukun solat yang mana tanpanya, solat seseorang menjadi tidak sah. Begitulah pentingnya tomakninah, sehinggakan solat kita menjadi sia-sia jika ditinggalkan. Semua orang tahu maksud tomakninah iaitu menurut syarak ia bererti berhenti seketika dan tidak bergerak-gerak, namun apakah tujuannya?

Di dalam hadis di atas terkandung rahsia meraih solat yang khusyuk yang diajarkan terus oleh Rasulullah SAW kepada kita. Tomakninah bertujuan untuk memberikan kita kekosongan fikiran. Tomakninah bukan sahaja bererti tenang pada anggota badan tetapi juga tenang fikiran:

“Maka apabila kamu telah menyelesaikan solat(mu), ingatlah Allah di waktu berdiri, di waktu duduk dan di waktu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa aman, Maka dirikanlah solat itu (sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman.”

(An-Nisa: 103)

Apabila anggota badan tenang dan fikiran juga tenang, maka kita akan bersedia lebih bersedia dan fokus (khusyuk).

No comments:

Post a Comment