KEHIDUPANKU DI MADINAH  حياتي في مدينة الرسول

KEHIDUPANKU DI MADINAH حياتي في مدينة الرسول

LightBlog

YANG TERKINI

Friday, 27 July 2018

MASJID QUBA






Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Hari ini kita akan bercerita serba sedikit berkenaan kebesaran Allahu s.w.t dan bukti kenabian nabi Muhammad s.a.w melalui sebuah Masjid yang mana keutuhannya dan kesannya masih kekal hingga ke hari ini. Masjid ini merupakan masjid yang pertama diasaskan di dalam islam dan juga merupakan salah sebuah masjid yang nabi Muhammad s.a.w pernah khususkan. Semasa hayatnya rasulullah s.a.w baginda pernah menyebut 4 buah masjid dan fadhilat-fadhilatnya ataupun kelebihan-kelebihannya yang mana sesiapa yang bersolat di dalamnya akan mendapat ganjaran pahala yang begitu banyak. Masjid-masjid tersebut antaranya adalah sepertimana yang berikut :

1)Masjidil Ka`bah (Al haram)
2)Masjid An-Nabawi (Madinah Ar-rasul)
3)Masjid Al-Aqsa (Baitul Maqdis ataupun Jerusalem)
4)Masjid Quba` (Madinah)

1) Masjidil Ka`bah ataupun nama sinonimnya adalah Masjid Al-haram.
Masjid ini merupakan masjid yang terbesar pahala ganjarannya yang mana apabila seseorang bersolat di dalamnya maka ganjaran yang akan dia perolehi adalah sebanyak 100,000 kali bersolat.

2) Masjid An-Nabawi.
Masjid ini merupakan masjid kedua yang terbanyak ganjaran pahalanya bilamana seseorang yang beribadah di dalamnya dia akan memperolehi ganjaran begitu banyak iaitu 1000 kali bersolat ataupun lebih afdhal daripada itu. Dalilnya adalah daripada hadith maimunah isteri rasulullah berkata :

"Barangsiapa yang bersolat di Masjid Rasulullahi s.a.w maka sesungguhnya aku pernah mendengar rasulullah s.a.w bersabda ; Bersolat di dalamnya adalah lebih afdhal berbanding dengan bersolat 1000 kali bersolat di masjid yang selainnya melainkan masjid ka`bah."

3) Masjid Al-Aqsa
Masjid Al-Aqsa pula ganjarannya ialah apabila seseorang bersolat di dalamnya dia akan mendapat pahala sebanyak 500 kali bersolat.

4) Masjid Quba`.
Masjid terakhir yang mempunyai fadhilat yang tersendiri dan juga merupakan topik utama cerita kita pada hari ini adalah masjid quba. Masjid quba` ini tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah s.w.t ganjaran pahalanya apabila seseorang menunaikan solat di dalamnya adalah dia akan memperolehi pahala satu kali umrah.Dalilnya :

في سنن ابن ماجه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : من تطهر في بيته ثم أتى مسجد قباء فصلى فيه صلاة كان له كأجر عمرة . قال الشيخ الألباني : صحيح 


Maksudnya : (Dalam kitab sunan ibnu majah) Sesungguhnya rasulullah s.a.w bersabda :

"Barangsiapa yang bersuci kemudian dia mendatangi masjid quba` lalu dia menunaikan solat di dalamnya maka baginya seperti pahala satu kali umrah"

         Inilah serba sedikit cerita berkenaan empat buah masjid yang telah nabi khususkan. Masyaallah, kalau kita lihat pada pahala masjid quba` itu sesungguhnya sangat beruntunglah bagi sesiapa yang bersolat di dalamnya. Hanya mendirikan solat sahaja maka ganjaran pahala yang bakal diperolehi sama seperti pahala umrah. Oleh itu tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati oleh Allah s.w.t sekiranya mempunyai wang dan kesempatan berilah ruang dan waktu untuk diri sendiri agar menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim di Madinah Rasul ini. Harta yang dikumpul ataupun dicari gali tidak akan pernah cukup maka korbankanlah lebihan wang itu sekiranya berkemampuan. Tidak akan pernah rugi bagi sesiapa yang mencuba untuk mensucikan dirinya daripada dosa noda ini. Niat dan amal soleh yang benar-benar kerana ingin beribadah dengan seikhlasnya kerana Allah pasti akan mendapat hasilnya. Berdoa, berusaha dan bertawakkallah kepada Allah s.w.t. Allah pasti akan memberi ganjarannya. Wallahu A`lam


        Hikmah daripada pembinaan masjid quba` :


        Sekiranya kita menyingkap kembali ataupun menyelusuri sirah nabi yang dahulu semasa hijrahnya dari kota makkah ke kota madinah kita dapati kesemua penduduk asal kota makkah pada ketika itu tidak berpeluang untuk kembali ke tempat asal mereka iaitu(makkah). Kenapa? Ekoran daripada ancaman dan kecaman dari kaum musyrikin makkah pada waktu itu menyebabkan mereka terpaksa berhijrah ke kota madinah demi menyelamatkan akidah islamiah yang benar dalam diri mereka. Oleh sebab itu, mereka tidak akan berpeluang lagi untuk beribadah di depan ka`bah lalu setibanya nabi muhammad s.a.w di kota madinah baginda telah mengasaskan masjid pertama dalam islam iaitu masjid quba` yang mana apabila seseorang bersolat di dalamnya dia akan mendapat ganjaran pahala sama seperti satu kali umrah. Itu sahaja cerita ringkas kita berkenaan salah satu kebesaran dan kesan dari tanda kenabian baginda s.a.w melalui cerita masjid ini.

Wallahu A`lam.
Sekian. 

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH














No comments:

Post a Comment